Lompat ke konten Lompat ke sidebar Lompat ke footer

Keutamaan Memberi Salam

Assalamualaikum.
Bismillahirromanirrohim.
Menyebarluaskan salam sangat kurang diamalkan oleh muslim pada zaman muta’akhir ini.
Sedangkan banyak sarana dari agama melalui kalam Rosululloh Shollallohu `alaihi wasallam tentang keutamaan menyebarluaskan salam.

Rugi yang besar bagi kita sekiranya tidak mengamalkan sunnah yang besar ini.

Berikut saya senaraikan beberapa keutamaan menyebarluaskan salam dengan menyatakan beberapa hadith yang kami petik dari kitab Riyadhussolihin, susunan Imam An-Nawawi:

1. Memberi salam kepada orang yang di kenal ataupun belum d kenal adalah tanda Islam seseorang itu baik.


Dari `Abdulloh bin `Amr bin Al-`Ash RodhiyAllohu `anhuma, bahawasanya ada seseorang bertanya kepada Rosululloh Shollallohu `alaihi wasallam:

”Bagaimanakah ISLAM yang baik itu?” Baginda menjawab: ”Yaitu kamu memberi makanan dan mengucapkan salam baik kepada orang yang telah kamu kenal mahupun orang yang belum kamu kenal.”

(HR Bukhori dan Muslim)

2. Menyebarkan salam adalah Sunnah Nabi shollallohu `alaihi wasallam.
Dari Al-Barra’ bin `Azib RodhiyAllohu `anhuma berkata: ”Rosululloh Shollallohu `alaihi wasallam menyuruh kami untuk melaksanakan tujuh macam perbuatan, iaitu: menjenguk orang sakit, mengiringkan jenazah, mendo`akan orang yang bersin, menolong orang yang lemah, membantu orang yang teraniaya, menyebarkan salam dan menepati sumpah.” (HR Bukhori dan Muslim)

Dari Abu Yusuf `Abdulloh bin Salam RodhiyAllohu berkata: ”Saya mendengar Rosululloh Shollallohu `alaihi asallam bersabda:

”Wahai sekalian manusia, sebarluaskanlah salam, berikanlah makanan, hubungkanlah tali persohabatan dan sholatlah sewaktu orang sedang tidur, nescaya kamu sekalian akan masuk syurga dengan selamat.” (HR At-Turmudzi, katanya shohih)

3. Menyebarluaskan salam akan mewujudkan kasih-sayang.

Natijahnya Iman dan Syurga.
Dari Abu Huroiroh RodhiyAllohu `anhu berkata, Rosululloh ShollAllohu `alaihi wasallam bersabda:

”Kamu sekalian tidak akan masuk Syurga sebelum beriman, dan kamu sekalian tidaklah beriman sebelum saling sayang menyayangi.

Mahukah aku tunjukkan sesuatu yang apabila kamu kerjakan nescaya kamu sekalian akan saling sayang- menyayangi? yaitu sebarluaskanlah salam di antara kamu sekalian.” (HR Muslim)

4. Para salafussoleh sentiasa mencari peluang dan ruang untuk sebarluaskan salam.
Dari At-Tufail bin Ubay bin Ka`ab, bahawasanya ia datang ke tempat `Abdulloh bin `Umar, kemudian mereka pergi bersama-sama ke pasar. Tufail berkata:

”Apabila kami berada di pasar maka setiap kali kami melewati tukang jual baju, orang yang akan menjual barang dagangannya, orang miskin dan bahkan melewati siapa pun juga `Abdulloh pasti mengucapkan salam kepadanya.” At- Tufail berkata:

”Suatu hari saya datang ke tempat `Abdulloh bin `Umar kemudian dia mengajak saya ke pasar. Maka saya berkata kepadanya:

”Apa yang akan kamu perbuat di pasar nanti, kerana kamu tidak membeli sesuatu pun, tidak juga mencari sesuatu, tidak akan menawar sesuatu, dan tidak juga akan duduk-duduk di pasar? Lebih baik kita berbincang- bincang di sini sahaja.” `Abdulloh menjawab:

”Wahai Abu Bathn (kerana At-Tufail mempunyai perut yang besar), kita akan ke pasar untuk menyebarluaskan salam kepada sesiapa yang bertemu dengan kita.” (Riwayat Imam Malik di dalam kitabnya al-Muwatta’ dengan sanad yang shohih)

5. Orang yang paling dahulu memberi salam adalah orang yang paling utama di sisi ALLOH. Dari Abu Umamah Shuday bin `Ijlan Al- Bahily RodhiyAllohu `anhu berkata bahawa Rosululloh Shollallohu `alaihi wasallam bersabda:

”Seutama-utama manusia menurut ALLOH adalah orang yang paling dahulu mengucapkan salam.” (HR Abu Daud dengan sanad yang baik)

Dari Abu Umamah RodhiyAllohu `anhu, beliau berkata:

”Ada seseorang bertanya kepada Rosululloh Shollallahu `alaihi wasallam:
”Wahai Rosululloh, kalau ada dua orang yang bertemu serentak, maka siapa yang harus mengucapkan salam terlebih dahulu?

” Baginda menjawab:”Orang yang lebih utama menurut ALLOH Ta`ala.” (HR At-Turmudzi, hadithnya hasan) .

Mudah-mudahan dengan mengetahui nas- nas di atas menjadikan kita bermotivasi untuk melaksanakan sunnah menyebarluaskan salam ini.

Jangan lemah semangat atau merasa malu jika orang lain tidak buat.

Untuk kehidupan yang baik di akhirat dan di dunia, sebarluaskanlah salam.

Sebarkan catatan ini. Semoga catatan ini bermanfaat buat ana dan antum sekalian.

Wallohu Ta`ala A`lam.

Posting Komentar untuk "Keutamaan Memberi Salam"